• Lantai Tauhid

    "Akulah manusia yang paling takut kepada Allah..." [HR Bukhari]

  • Tiang Fiqh

    "Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam hal yang ma'ruf." [HR Bukhari]

  • Atap Akhlaq

    "Dan sesungguhnya kau (Nabi) memiliki akhlaq yang amat mulia." [Al-Qalam: 4]

  • Almari Murabbi

    "Apabila mati, terputus amalan kecuali...ilmu yang bermanfaat." [HR Bukhari]

  • Alam Ghaib

    "Iaitu golongan yang beriman kepada perkara ghaib..." [QS Al-Baqarah: 3]

  • Pelita Sunnah

    "Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari al-Quran & mengajarnya." [HR Bukhari]

  • Kebun Nasihat

    "Agama itu adalah nasihat...untuk umat lslam seluruhnya." [HR Muslim]

  • Keluarga Sakinah

    “...Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” [HR Tirmizi]

  • Kamar Kehidupan

    "Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan kekal." [QS Al-A'laa: 17]

  • Laci Muslimah

    "Janganlah kamu mengahwini wanita kerana paras rupa yang cantik..." [HR Ibnu Majah]

  • Taman Tasawuf

    "Ingatlah dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang." [QS Ar-Ra'd: 28]

  • Dinding Kesihatan

    "Ada 2 jenis nikmat yang melalaikan insan iaitu nikmat sihat..." [HR Bukhari]

  • Serambi Jihad

    "Dan berjihadlah pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar..." [QS Al-Hajj: 78]

Thursday, November 12, 2009

Peranan Guru dalam Mencegah Jenayah Seksual

‘Susulan Bayi Kena Jerut: Lahir 3 Anak Luar Nikah.’ (Harian Metro, 10 Januari 2008). Begitulah tajuk-tajuk akhbar yang menjadi pembuka tirai episod jenayah tahun 2008. Kes-kes salah laku seksual kini menjadi bahan perbualan dan polemik umum malah laporan mengenai kes rogol kepada kumpulan hak asasi wanita serta organisasi bukan kerajaan (NGO) dan juga di dalam akhbar adalah perkara biasa. Menurut laporan akhbar, seramai 1,462 wanita telah dirogol dalam 10 bulan pertama tahun 2005 yang mana ia hanya 10 peratus daripada keseluruhan kes rogol yang telah dilaporkan kepada pihak polis. Pelacuran kanak-kanak juga wujud malah merujuk kepada statistik polis pada tahun 2002, 97 gadis berusia di bawah 18 tahun telah ditahan dan dihantar ke pusat pemulihan kerana terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral (lihat Seksyen 5, Perdagangan Manusia). (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005).



Dewasa ini, mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral sering dianggap sebagai subjek pelengkap dalam kalangan pelajar. Dengan kata lain, subjek dipelajari hanya disebabkan subjek adalah mata pelajaran wajib yang diambil kira dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Justeru itu, para pelajar kurang penghayatan terhadap subjek ketika proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kurang penghayatan dalam mata pelajaran kerohanian ini akan memberikan pelbagai implikasi negatif yang membimbangkan. Antaranya, wujud gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat yang membabitkan kes-kes jenayah terutama salah laku seksual seperti yang tersebut di atas. Ini selari dengan pegangan mazhab idealisme yang memberi fokus kepada akal, jiwa dan kerohanian. Akal, jiwa dan kerohanian adalah penting dalam kehidupan kerana kebenaran menurut mazhab ini hanyalah bergantung kepada tiga perkara tersebut (Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2008:2).

Memandangkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral merupakan satu-satunya mekanisme yang mampu membina jiwa, membentuk kerohanian dan memupuk akhlak mulia dalam diri pelajar, guru-guru sewajarnya memainkan peranan mencegah salah laku seksual dengan menekankan penghayatan subjek-subjek ini kepada pelajar di sekolah. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Amir Hasan Dawi (2006: 242), Ibn Khaldun dan Al-Qabisi berpandangan bahawa pendekatan dalam pembentukan disiplin pelajar atau mengatasi salah laku pelajar perlu diterapkan dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Begitu juga disiplin boleh diterapkan melalui pembelajaran formal.

Justeru, pelbagai cara dan langkah boleh diambil oleh guru dalam menekankan penghayatan subjek Pendidikan Islam dan Moral. Perkara paling asas yang perlu diambil perhatian terhadap pelajar hari ini adalah pemeliharaan pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan kerana pergaulan yang melampaui batasan merupakan akar umbi kepada salah laku seksual. Dalam situasi keruntuhan moral yang semakin meruncing kini, saya menyokong tindakan guru-guru mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan dalam isu yang digembar-gemburkan baru-baru ini di mana sebuah sekolah menengah di Taman Seremban Jaya di sini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa kerana mengasingkan pelajar perempuan dan lelaki dalam semua aktiviti termasuk ketika membeli makanan di kantin (Harian Metro, 10 Januari 2008).

Berdasarkan teori perkembangan psikoanalisis Sigmund Freud; pada peringkat Genital (12 tahun ke atas), remaja mula menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Ketika ini, kelenjar-kelenjar kelamin sudah mula berfungsi sebagai sumber kenikmatan dan wujud perasaan cinta dua arah. Kesulitan-kesulitan yang timbul pada peringkat ini akan menyebabkan ketegangan yang berhubung dengan masalah seks (Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2002). Oleh kerana itulah syariat Islam diturunkan untuk mengatur hubungan antara manusia. Hubungan di antara manusia itu termasuklah mengatur bagaimana individu manusia yang berlainan jenis seharusnya bergaul. Di dalam Islam, hukum asal bagi kehidupan lelaki dan wanita adalah terpisah (diasingkan). Islam melarang percampuran di antara lelaki dan wanita kecuali di dalam hal yang memerlukan interaksi seperti jual-beli, bekerja, perubatan, pertanian, industri dan sebagainya. Namun, apabila berada di luar urusan yang memerlukan interaksi tersebut, maka seorang wanita haram melakukan interaksi dengan lelaki kecuali dengan mahramnya. Tidak timbul masalah perkembangan remaja akan terganggu kerana pengasingan pelajar lelaki dan perempuan dalam pendidikan telah diamalkan dalam Islam semenjak zaman Nabi sehinggalah era kegemilangan ilmu empayar Khilafah Uthmaniyah, malah telah terbukti bahawa mereka berjaya menghasilkan masyarakat yang tidak terjejas tetapi bertamadun tinggi dan harmoni. Bukan itu sahaja, sistem persekolahan Inggeris yang dipandang tinggi oleh masyarakat itu juga mengamalkan pengasingan di antara murid lelaki dan perempuan suatu ketika dahulu.

Saya percaya guru memiliki tanggungjawab besar dalam memelihara pergaulan di antara pelajar lelaki dan perempuan dengan mewujud serta menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sewaktu kelas mahupun sepanjang sesi persekolahan. Selain pengasingan di antara pelajar lelaki dan perempuan, guru boleh memilih untuk menguatkuasakan peraturan lain sebagai alternatif yang lebih longgar dan mudah dilaksanakan. Antaranya, melarang pelajar lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan dan bersentuhan terutamanya jika pelakunya adalah pelajar muslim. Guru juga perlu menegur pelajar lelaki yang mengusik pelajar perempuan secara berlebih-lebihan serta pelajar lelaki dan perempuan yang bergurau senda melampaui batasan. Dalam menjalankan fungsinya di sekolah, guru sepatutnya dapat mengubah cara hidup pelajar sungguhpun di luar sekolah pelajar itu mungkin berdisfungsi. Dalam usaha mendisiplinkan pelajar, guru mungkin menggunakan kaedah penguatkuasaan dengan mengetatkan peraturan dan hukuman (Amir Hasan Dawi 2006:239).

Berpakaian sopan merupakan etika yang sepatutnya diamalkan oleh pelajar perempuan lebih-lebih lagi dalam masyarakat Malaysia yang sememangnya berpegang teguh kepada pengamalan budaya dan adat ketimuran. Pakaian yang terdedah boleh membawa kepada berlakunya gejala-gejala sosial kerana pakaian diibaratkan sebagai umpan untuk menarik perhatian lelaki yang boleh membawa kepada berlakunya seks bebas, rogol, sumbang mahram dan lain-lain. Dalam hal ini, guru seharusnya memerhati, menegur dan menasihati pelajar-pelajar perempuan yang gemar berpakaian menjolok mata supaya berpakaian sopan di mana-mana sahaja dan ini merupakan salah satu cara menerapkan penghayatan subjek Pendidikan Islam dan Moral.

Antara kepentingannya adalah untuk mengelakkan pelajar perempuan diganggu oleh kaum lelaki sewaktu keluar dari rumah malah ketika berada di dalam rumah juga pelajar perempuan sewajarnya berpakaian sopan atau tidak terdedah untuk mengelakkan rangsangan seksual kepada ahli keluarga lelaki. Tambahan pula, kejadian kes sumbang mahram telah berlaku secara berleluasa akhir-akhir ini. Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga melaporkan 306 kes sumbang mahram pada tahun 2002 dan pada bulan September 2005, media tempatan telah melaporkan bahawa berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap 133 orang pesalah laku seksual, 23 peratus daripada mangsa adalah anak perempuan mereka sendiri (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005).

Ahli sosiologi, psikologi dan pendidik bersependapat mengatakan penampilan seksi wanita adalah salah satu punca berlaku kejadian rogol. Saya meyakini bahawa semua agama di dunia ini menggalakkan penganutnya berpakaian sopan atau menutup aurat. Berikut merupakan seruan kepada penganut Islam yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Surah an-Nur: 31)


Di samping itu, pemantapan komponen akhlak dalam Pendidikan Islam dan Moral dapat membantu pelajar dalam penghayatan agama. Guru dikehendaki menerapkan nilai-nilai akhlak Islam ketika menerangkan adab dan amalannya dalam kehidupan pelajar. Penerapan nilai-nilai murni dalam diri seperti amalan berdisiplin, adil, bertanggungjawab, kerjasama dan toleransi perlu dicanai dalam diri mereka. Ini kerana, pendidikan akhlak merupakan wadah penting untuk merungkai permasalahan akhlak dan melahirkan manusia yang baik. Agama Islam sebagai ad-Deen atau cara hidup amat menekankan kepada pendidikan akhlak.

Berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam KBSM, pengenalan komponen adab dan akhlak Islam dalam kurikulum Pendidikan Islam pada 2003 adalah merupakan suatu usaha untuk mempertingkat dan mengemaskini lagi pengajaran dan pembelajaran akhlak di sekolah yang antara lainnya bagi mencapai matlamat iaitu melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri berikut iaitu mantap serta kukuh iman dan taqwa sebagai benteng ketahanan diri, menguasai ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sebagai pedoman dan amalan hidup, mengamalkan tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah bagi memenuhi tanggungjawab ibadah dan berakhlak mulia sebagai pelengkap diri dan tonggak budaya. Berdasarkan matlamat Pendidikan Islam ini, adalah jelas bahawa selain mempelajari komponen lain dalam Pendidikan Islam adalah diharapkan pengajaran komponen Adab dan Akhlak Islam dapat membentuk pelajar yang mampu mengharungi nilai-nilai luar menerusi iman dan taqwa yang mantap sekaligus dapat mengawal diri daripada gejala negatif. Ini bermakna, adab dan akhlak Islam mesti menjadi induk utama kepada nilai-nilai materialisme, sekularisme dan sainstisme. Diharapkan pelajar yang berakhlak dan beradab dapat dibentuk supaya boleh bertindak dalam semua keadaan dengan berkesan sekaligus mengelakkan diri mereka daripada terjebak dalam salah laku seksual.

Selain daripada itu, dalam usaha menekankan penghayatan subjek Pendidikan Islam dan Moral guru perlu mengaplikasi teori Freud dalam bilik darjah dengan memasukkan nilai-nilai keagamaan dalam setiap sessi pengajaran dan pembelajaran walaupun mata pelajaran yang diajar itu bukanlah subjek Pendidikan Islam ataupun Moral (Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2002). Terdapat banyak nilai keagamaan dan moral yang seharusnya dimasukkan dalam sesi pengajaran dan yang paling penting adalah mengingatkan para pelajar supaya menjauhi budaya Barat dan memilih rakan sebaya yang baik akhlak. Usaha ini sejajar dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya berdakwah iaitu saling nasihat-menasihati mengikut kemampuan masing-masing bagi menjauhkan perkara keji daripada berlaku dalam masyarakat berikutan daripada pengaruh persekitaran atau budaya luar. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, ‘‘Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah, nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara yang lebih sopan. Ssungguhnya Tuhanmu jualah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari alan-Nya dan Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.’’ (Surah An-Nahl: 125)
Bagi pelajar di peringkat remaja, gaya hidup masyarakat Barat yang moden, kelakuan dan cara penampilan yang tidak senonoh adalah dirasakan wajar diamalkan bagi menunjukkan kemodenan mereka biarpun semua itu berlawanan dengan syariat agama. Pertentangan antara keinginan remaja dengan perintah agama menyebabkan jiwa mereka memberontak dan berusaha menepis kenyataan itu dengan menurut kata hati. Gejolak jiwa remaja amat sukar untuk dibendung kerana pada tahap umur ini, mereka mudah dipengaruhi dengan unsur negatif di sekeliling mereka yang mendatangkan keseronokan dan kenikmatan sekalipun bersifat sementara.

Penglibatan remaja dalam gaya hidup masyarakat Barat yang penyumbang kepada salah laku seksual ini banyak didorong oleh pengaruh rakan sebaya disebabkan remaja banyak menghabiskan masa di sekolah bersama rakan-rakan. Selaras dengan kehendak agama, guru perlu menyarankan pelajar mencari kawan sebaya yang betul kerana pemilihan rakan sebaya yang betul dapat mengelakkan pelajar daripada terpengaruh dengan unsur-unsur seperti yang dinyatakan di atas. Rasulullah s.a.w. pernah berpesan terhadap keperluan mencari teman yang baik umpama berkawan dengan penjual minyak wangi. Jika kita tidak dapat membeli minyak wanginya, pasti akan dapat mencium bau wangian jualannya. Namun, jika berkawan dengan si tukang besi, pasti akan terkena percikan kepanasan api yang digunakan ketika bertukang besi.

Tidak dinafikan penekanan yang serius diberikan oleh semua pihak (daripada peringkat Kementerian sehinggalah kepada guru-guru) untuk memastikan kecemerlangan akademik pelajar. Seperti yang dihujahkan pada awal perbincangan tadi, subjek Pendidikan Islam dan Moral hanya dianggap sebagai mata pelajaran pelengkap oleh pelajar. Sewajarnya, selain memberi penekanan kepada subjek-subjek yang dianggap kritikal seperti Sains dan Matematik, guru perlu memberi penekanan yang sama kepada Pendidikan Islam dan Moral dalam usaha membina sahsiah dan disiplin pelajar. Contohnya, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya melibatkan subjek Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sahaja, dan tiada Pendidikan Agama dan Moral. Sejak sekolah rendah lagi Pendidikan Agama dan Moral ditonjolkan sebagai tidak penting. Apatah lagi dalam sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, pelajar akan hanya menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran yang penting sahaja kerana hendak mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Justeru, pelajaran Agama dan Moral akan terabai. Ini berlanjutan hingga ke peringkat menengah di mana saban tahun peratus kelulusan mata pelajaran Agama di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin menurun.

Pendidikan Agama dan Moral perlu diberi imej ‘kritikal’ seperti subjek lain. Melalui mata pelajaran ini, usaha ke arah membentuk peribadi dan rohani pelajar dapat dipertegaskan. Ini menjamin perkembangan selari di antara pendidikan akademik dan sahsiah pelajar sekaligus menjadi pemangkin ke arah mewujudkan pelajar yang seimbang intelek, rohani, jasmani dan emosi mereka. Ini sebenarnya selaras dengan sistem pendidikan Islam. Selain memberi keutamaan kepada ilmu fardhu ain, ia turut menekankan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain merangkumi tauhid (aqidah), feqah, dan akhlak serta penguasaan al-Quran. Ini adalah batu asas mendidik seorang manusia. Penguasaan ilmu fardhu ain menjamin kehidupan manusia yang baik hubungannya dengan Tuhan, diri sendiri, masyarakat dan alam sekitar. Ia menekankan konsep ketuhanan dan diterjemah dalam bentuk ibadah dan akhlak. Ilmu fardhu kifayah pula adalah ilmu-ilmu yang menjamin keberlangsungan kehidupan manusia, dan mengatur sistem sosial, ekonomi dan keadilan dalam masyarakat. Ia seperti mata pelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi dan lain-lain. Malah, sebenarnya semua ilmu fardhu kifayah ini akan membantu dan memperkukuh ilmu fardhu ain, sekiranya diadun dan dicerna dengan betul.

Kes-kes salah laku seksual timbul apabila Pendidikan Agama dan Moral dikesampingkan dari fokus dan tumpuan pelajar. Maka, terhasillah pelajar yang degil, pemarah, keras hati dan bebal. Ditambah dengan tekanan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan, maka emosi mereka menjadi tidak terkawal. Kalaupun ada pelajar yang cemerlang akademiknya, maka mereka yang lahir nanti ialah ahli profesional yang tidak beretika dan bertanggungjawab. Seorang pensyarah pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia pernah berkata bahawa sistem pendidikan yang menekankan aspek akademik dan keintelektualan semata-mata hanya akan melahirkan produk (individu) berkelulusan akademik cemerlang, tetapi kosong daripada aspek etika dan nilai-nilai murni sebagai seorang manusia.

Menurut Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2008: 2), mazhab idealisme menyatakan pendidikan ialah untuk melahirkan individu bermoral yang boleh berperanan dalam masyarakatnya. Bagi tujuan ini, pelajar hanya dibolehkan menerima sepenuhnya apa yang telah diajar oleh guru. Guru memainkan peranan yang amat besar dan penting sebagai orang yang membentuk para pelajarnya. Di sekolah, selain pendidikan nilai Islam yang perennial, pelajar perlu dibentuk supaya dapat menghayati pendidikan sepanjang hayat, kehidupan kekeluargaan yang padu, budaya dan ketamadunan Islam dan sebagainya. Sesungguhnya kejayaan seseorang pelajar bukan hanya melibatkan pencapaian akademik bahkan juga bergantung kepada kemuliaan akhlak dan moral. Di sini jelaslah bahawa pendidikan Islam dan Moral perlu menekankan kepada aspek penghayatan pelajar, bukan hanya mementingkan aspek kognitif sahaja. Justeru itu, suatu langkah yang lebih menyeluruh perlu difikirkan dan diambil bagi menilai aspek penghayatan pelajar dari segi agama dan moral. Suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak dan moral yang baik perlu diwujudkan di sekolah, dalam keluarga dan masyarakat. Hanya dengan suasana yang saling menyokong ini, pelajar-pelajar yang berakhlak dan bermoral dapat dilahirkan.

Subjek: KPF5012 Falsafah dan Perkembangan Pendidikan Malaysia
Tarikh: 12 Februari 2008

Semoga beroleh manfaat...


Categories: ,

0 buah tangan:

Post a Comment

Terima kasih untuk buah tangan yang ikhlas dari hati. Dimulakan dengan nama Allah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
  • Anjung Bicara

  • Bilik Bacaan

    Act Like a Lady, Think Like a Man: What Men Really Think About Love, Relationships, Intimacy, and Commitment
    Fiqh Wanita: Menghalusi Kerahsiaan & Permasalahan Wanita Semasa
    Aku Nabi Isa! - Refleksi Wad Sakit Jiwa
    Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah
    Nota Cinta untuk Cikgu
    Jin Undercover: Teknik Rawatan Gangguan Jin
    Senangnya Memasak... Sayur
    Bangkitlah Selepas Bercerai
    Kenali Rasul Kita Muhammad SAW
    Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman
    Formula Solat Sempurna
    Mencari Pasangan Hidup
    Ke Mana Wang Anda?
    Apa Ertinya Saya Menganut Islam
    1511H [KOMBAT]
    Men Are from Mars, Women Are from Venus
    Story of The great Wife:
    Salahudin Ayubi: Penakluk Jerusalem
    Tentang Cinta
    Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai Ke Syurga


    Siti Zaleha's favorite books »
  • Perutusan Merpati

  • Jejak Ziarah